KAMAR

Suatu Catatan


INTERLOK, to unlock.

Interlok ialah sebuah karya novel yang dikarang oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Novel ini dihasilkan oleh Abdullah untuk menyertai Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka (1967) hasil inisiatif Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran Persatuan Penulis Nasional di mana novel ini memenangi hadiah sagu hati. Interlok diterbitkan Angkatan Baru untuk pertama kali pada tahun 1971. Kemudiannya ia diterbitkan dalam edisi pelajar pada tahun 2006 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, edisi khas Sasterawan Negara (2008, DBP) dan edisi murid novel Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (2010, DBP).

Novel ini mengisahkan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Akan tetapi, novel ini dilanda kontroversi, lebih-lebih lagi apabila dipilih sebagai bahan bacaan wajib Komponen Sastera Bahasa Melayu Tingkatan Lima pada tahun 2011, kerana sesetengah golongan India tersinggung oleh unsur sistem kasta dalam masyarakat India.

Plot (Permulaan)
Ketika Maniam teringat akan anaknya dan Malini yang sudah ditinggalkannya selama 21 tahun itu, Seman datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan pekerjaan di kebun getah itu. Maniam mengatakan bahawa bapa Seman ialah kawan baiknya suatu masa dahulu. Dia berjanji untuk membantu Seman yang terpaksa membina kehidupan baharu bersama-sama dengan emaknya kerana dia disuruh keluar dari rumahnya oleh Cina Panjang kerana semua harta termasuk tanah dan rumahnya sudah menjadi milik Cina Panjang itu. Sejak kematian bapanya, Seman kuat beribadat dan memohon doa kepada Tuhan supaya diberikan perlindungan dan pertolongan. Pada malam itu, dia singgah di surau untuk menunaikan solat Isyak sebelum pulang ke rumahnya. Seman mengajak emaknya meninggalkan rumah itu esok paginya dan mengatakan bahawa dia sudah mendapat kerja di kebun getah. Seperti yang dijanjikan, Maniam menunggu Seman dan emaknya lalu menunjukkan rumah kuli yang akan menjadi tempat tinggal mereka nanti.

Selepas Cing Huat memarahi, menampar dan menghalaunya pada suatu malam, Yew Seng sudah nekad untuk meninggalkan rumah pada pagi esoknya. Dia akan pergi ke sebuah lombong yang berhampiran dengan Cangkat Janggus dan bekerja sebagai kuli di lombong bijih itu. Yew Seng sering kali bertentangan pendapat dengan bapanya. Dia juga suka berkawan dan bermain dengan budak-budak Melayu, terutamanya Lazim, walaupun tidak disenangi oleh bapanya. Di samping itu, Yew Seng selalu bersimpati dengan Lazim atas kemunduran orang Melayu. Dia mengatakan bahawa orang Melayu sama sahaja dengan orang Cina dan mereka bukannya orang hutan seperti yang selalu didakwa oleh bapanya itu. Di lombong bijih itu, dia mengenali Kong Beng yang menjadi kepala kuli di situ.

Setelah dua tahun setengah meninggalkan kampungnya, Seman pulang dan bersembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong pada suatu hari. Di situ, dia bertemu dengan Lazim dan hasratnya untuk meminang Upik pula terpaksa dilupakan apabila Lazim memberitahu bahawa Upik sudah berkahwin dengannya. Walau bagaimanapun, Setelah dicadangkan oleh Lazim, Seman meminta bantuan Lebai Man untuk mewakilinya bagi merisik Gayah, anak Mat Ranggi untuk dijadikan isterinya. Walaupun pada mulanya Mat Ranggi tidak bersetuju dengan hasrat Seman itu, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya selama ini, iaitu dia terlalu mementingkan harta.

Seman akhirnya berkahwin dengan Gayah iaitu anak Mat Ranggi yang sudah dapat menerimanya sebagai menantu walaupun dia tidak berharta. Dia memberitahu Maniam bahawa dia mahu berhenti kerja kerana hendak pulang ke Kampung Nyiur Condong dan berkahwin dengan Gayah. Selepas berkahwin, Seman tinggal bersama-sama dengan bapa mentuanya, dan ibunya pula tinggal di pondok yang berhampiran dengan rumah Lebai Man untuk memudahkannya belajar agama bersama-sama dengan pelajar yang lain.

Zaman Jepun
Apabila tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu, keadaan menjadi tidak tenteram dan tentera orang putih mula mengundurkan diri. Orang-orang Cina pula gelisah dan takut akan tentera Jepun. Keadaan menjadi tidak tenteram kerana banyak berlaku rompakan. Sebagai contohnya, ada orang Melayu yang sanggup merompak kedai-kedai orang Cina untuk membalas dendam. Dalam satu rompakan di kedai Cing Huat pada suatu malam, Poh Eng hilang, tetapi dia telah diselamatkan oleh Seman. Seman membawa Poh Eng dan emaknya berlindung di rumah pekerja di kebun Cangkat Janggus. Pada suatu hari, tentera Jepun datang ke kedai Cing Huat dan bertanyakan Yew Seng yang menyertai kumpulan pengganas komunis yang diketuai oleh Kong Beng. Secara senyap-senyap, Yew Seng pula balik ke rumahnya pada suatu malam dan meminta makanan. Dia berjanji kepada bapanya untuk mencari Poh Eng yang hilang.

Selepas pengurus orang putih meninggalkan ladang mereka, orang Jepun pula yang mengambil alih pengurusan ladang. Walau bagaimanapun, orang-orang yang tidak dikenali telah menculik pengurus kebun Cangkat Janggus pada suatu malam. Poh Eng pula telah dibawa lari oleh abangnya, Yew Seng pada malam itu juga. Mak Limah telah ditangkap oleh Jepun berikutan dengan kehilangan pengurus Jepun di kebun Cangkat Janggus itu.

Maniam dan beberapa orang kuli dari kebun Cangkat Janggus pula telah ditangkap oleh Jepun disebabkan oleh kehilangan pengurus Jepun itu. Semasa dalam tahanan, Maniam telah diseksa oleh tentera Jepun. Walau bagaimanapun, dia telah bertemu dengan anaknya sendiri iaitu Inspektor Ramakrisynan yang bertugas di situ dan membebaskannya. Maniam meminta bantuan daripada anaknya itu, iaitu Inspektor Ramakrisynan supaya membebaskan Mak Limah. Cing Huat pula sangat marah apabila mengetahui Seman dan Mak Limah yang menyembunyikan Poh Eng.

Keadaan menjadi semakin gawat dan sukar kerana barang-barang keperluan sangat kurang dan harganya melambung tinggi. Orang kampung juga semakin susah akibat hasil pertanian mereka terpaksa dijual dengan harga yang murah kepada Jepun dan sekiranya mereka enggan, hasil pertanian itu akan dirampas dan tuan punyanya pula akan ditangkap dan dihukum. Kebun-kebun pula sering diserang oleh gerombolan komunis pada waktu malam dan pengurus-pengurusnya yang terdiri daripada orang Jepun itu ditangkap ataupun dibunuh. Lazim turut ditangkap oleh Jepun kerana menghasut orang kampung supaya jangan menjual padi mereka kepada Jepun.


Zaman Darurat dan Kemerdekaan
Setelah Jepun tewas, orang Inggeris kembali ke Malaya dan pada masa itu berlaku penentangan terhadap pengganas komunis. Sementara itu, pengganas komunis pula semakin mengganas dan bertindak dengan kejam terhadap orang putih dan juga rakyat Malaya. Gerombolan pengganas komunis telah mengambil alih balai polis dan Inspektor Rama ditangkap kerana bekerjasama dengan Jepun. Namun begitu, Yew Seng berjumpa dengan Lazim yang secara kebetulannya ditahan di balai polis itu, dan dia terus membebaskan kawannya itu.

Orang Melayu yang diwakili oleh Lazim, Mail Jambul, dan Berahim mengajak orang-orang Melayu agar bersatu padu dan menentang gagasan Malayan Union yang hendak diperkenalkan oleh Inggeris. Kemudian darurat diisytiharkan di seluruh negeri kerana Parti Komunis Malaya melakukan pemberontakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan komunis di wilayah-wilayah yang telah dirampas daripada tangan Inggeris. Mereka mengatakan bahawa perkara itu dilakukan untuk membebaskan seluruh Malaya daripada penjajahan Inggeris dan untuk mencapai matlamat itu, mereka terpaksa melumpuhkan ekonomi negeri ini terlebih dahulu. Oleh sebab itu, mereka terpaksa merosakkan kebun-kebun getah dan kelapa serta menghancurkan lombong-lombong bijih.

Sementara itu, Yew Seng dan Kong Beng kembali semula ke hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang kebun-kebun di kawasan itu pada setiap malam dan membunuh orang putih yang menjadi pengurusnya. Selain itu, mereka terus menyerang dan merosakkan pokok-pokok getah serta menghancurkan lombong bijih. Cing Huat pula telah dilantik sebagai pengerusi persatuan orang Cina di pekan kecil tempatnya tinggal itu. Mereka berjuang untuk membersihkan nama orang Cina akibat dakyah pengganas komunis yang sesat itu dan memperjuangkan kebajikan orang-orang Cina. Orang-orang India juga mempunyai pertubuhan yang sama dan memperjuangkan kebajikan kaum mereka. Pertubuhan mereka itu dipimpin oleh Raman iaitu seorang guru yang pernah bertugas di kebun Cangkat Lima.

Suppiah dan dua anggota baharu gerombolan itu menangkap Maniam dan dibawa ke dalam hutan di tempat persembunyian gerombolan tersebut pada suatu malam. Ketika Suppiah hendak menembak Maniam, Poh Eng menyelamatkan Maniam dengan menembak Suppiah. Pada masa itu juga, Inspektor Rama dan pasukan keselamatannya melakukan serangan hendap terhadap gerombolan pengganas komunis itu. Dalam serangan tersebut pasukan keselamatan telah berjaya menewaskan gerombolan pengganas komunis. Yew Seng pula cedera parah di bahagian atas lututnya dan anggota pengganas yang masih hidup telah ditangkap.

Yew Seng dan Poh Eng sedar dan insaf akan perjuangan mereka yang sia-sia selama ini kerana tidak menyangka Kong Beng ialah anggota pengganas komunis yang anti-Inggeris, anti-Jepun, dan antipenjajah. Orang-orang di pekan Simpang Empat pula berasa gembira dan mereka hendak menyaksikan perayaan kemerdekaan yang akan berlangsung selama tiga hari dan tiga malam. Mereka semuanya berasa gembira apabila Malaya akan mendapat kemerdekaan. Seman dan isterinya Gayah, Yew Seng, Lazim, Mamat Labu, Pak Haji Man, Ah Hock, dan Raman akan merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Inspektor Ramakrisynan pula menjemput mereka datang ke rumahnya kerana bapanya hendak berjumpa dengan mereka.


Kontroversi
Apabila novel Interlok dikeluarkan dalam bentuk Edisi Pelajar untuk Komponen Sastera (Komsas) Bahasa Melayu Tingkatan Lima untuk tahun 2011, timbulnya perbalahan besar apabila sebilangan besar golongan India membantahnya kerana isi kandungannya yang merangkumi unsur-unsur sistem kasta yang menyentuh perasaan mereka, terutamanya petikan bahawa kaum India yang datang menaiki sebuah kapal ke Tanah Melayu terdiri daripada kasta pariah dan pasangan beragama Hindu yang berkahwin dikatakan menyembah Dewa Kama (Dewa Nafsu). Konsep pariah digambarkan dalam kitab Hindu, Manu Smirti yang termasuk perintah menkasi lelaki kasta rendah yang berani bergaul dengan wanita kasta lebih tinggi.

Kongres India Malaysia meminta supaya Edisi Pelajar Interlok disunting isi kandungannya. Timbalan Presidennya, Datuk Dr. S. Subramaniam mengujar, "Oleh itu saya takut bahawa jika tiada perubahan dibuat kepada kandungan yang ada di dalam buku itu, ia akan memberi satu pandangan salah kepada pelajar yang akan menggunakan buku itu. Ia akan diajar kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa... ini akan mengurangkan pemahaman mereka tentang apa yang sebenarnya berlaku di kalangan masyarakat India pada masa sekarang.”

Pada 27 Januari, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa buku novel Interlok kekal dalam komponen sastera Tingkatan Lima dengan sedikit perubahan kepada kandungan yang menyinggung perasaan kaum India, serta mengumumkan bahawa sebuah panel bebas ditubuhkan untuk menyediakan usul untuk meminda kandungan novel itu.


Kontroversi Novel Interlok
Kontroversi novel Interlok dikira bermula apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah menyatakan novel Interlok akan ditarik balik daripada digunakan sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) Tingkatan 5 (SPM) di Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur kerana mengandungi unsur sensitif yang boleh menyinggung perasaan sesetengah kaum.

Biro Pengaduan Awam (BPA) mendapat 27 aduan daripada masyarakat India yang tidak puas hati dengan novel itu. Selepas bertemu dengan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pelajaran, mereka bersetuju membawa usul kepada Menteri Pelajaran agar mempertimbangkan sama ada unsur sensitif itu di buang atau mengharamkan novel itu.

Pada 8 Januari 2011, kira-kira 100 penduduk di Klang membakar poster novel Interlok dan gambar Sasterawan Negara, Abdullah Hussain. Turut hadir dalam demonstrasi itu ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan.

Persatuan Penulis Nasional (Pena) menerusi Setiausaha Agungnya, S. M. Zakir bimbang dengan polemik itu. Pada 8 Januari 2011, di rumah Pena, Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad menyatakan Pena kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju dengan sebarang pindaan terhadap novel itu. Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof Madya Dr Datuk Mohamad Ali Hassan.

Gapena juga pada umumnya tidak setuju dengan pindaan dan menyokong kebebasan pengarang untuk menulis novel.

Pada 6 Januari 2011, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran mengkaji semula penggunaan novel Interlok sebagai buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia tingkatan lima sekolah menengah mulai tahun 2011. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyatakan tumpuan pertimbangan ialah muka surat 211 dan 220 yang dikatakan menyinggung kaum India kerana menyentuh isu kasta dan paria.


Isu yang dibantah
Istilah "paria", iaitu kasta paling rendah dalam masyarakat Hindu. Tapi novel Adventure of Huckleberr
Finn karangan Mark Twain juga menggunakan istilah pariah. Sistem paria itu sendiri hendaklah
dihapuskan terutama di negara India sendiri. Lagi pun, latar cerita kedatangan orang India ke Malaysia
dalam novel Abdullah Hussain itu adalah pada tahun 1910.

Pengkaji sastera, Dr Fatimah Busu, menyatakan bahawa Interlok merakamkan hakikat kedatangan imigran dari India dan China pada sejarah negara ini peringkat moden, iaitu 1900-an sebagai golongan pekerja selepas kedatangan awal dari kasta Brahmana yang membangunkan kuil di Angkor Wat, Kemboja; Borobudur di Jawa Tengah, Indonesia dan Langkasuka di Tanah Melayu. Realiti kasta di India sebenarnya diperincikan dalam banyak karya seperti Kanthapura karya Raja Rao; A Passage to India (EM Foster); Nectar in a Sieve dan A Handful of Rice (Kamala Markandaya); The Sweet Vendor (RK Narayan) dan antologi cerpen Stories from India. Novel Untouchable karya Mulk Raj Anand telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sjahrudin dengan judul Paria dan diterbitkan oleh Oxford Universiti Press pada 1964. Novel Untouchable merupakan adikarya fiksyen India , telah dijadikan sebagai teks di universiti sejak 1979 hingga 1986 dan 1993 hingga 1997.

Malahan filem Slumdog Millionaire pada 2008 yang memenangi lapan Anugerah Oscar dan 100 anugerah dalam pelbagai festival dan anugerah filem adalah memaparkan kisah golongan miskin ini tanpa sebarang kontroversi. Konsep pariah juga digambarkan dalam kitab Hindu, Manu Smirti yang termasuk perintah menkasi lelaki kasta rendah yang berani bergaul dengan wanita kasta lebih tinggi., tanpa sebarang bantahan oleh orang India.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu sendiri menegaskan tidak mungkin golongan Brahmana, Ksatria dan Waisya mahu menjadi pekerja di estet dan kebun kelapa di Tanah Melayu pada awal 1900-an. Sehingga kini, kaum India telah mewujudkan Little India di Pulau Pinang, Kuching, Klang dan terbaru Brickfields yang dirasmikan oleh Presiden India sendiri.



Suatu Catatan

1. Dalam pelayaran lautan siber, didapati banyak perkara-perkara pelik dan menakjubkan. Tidak kurang juga perkara-perkara yang mengerikan. Namun untuk tatapan pengunjung, dicatatkan disini sebuah laman yang membicarakan tentang orang melayu dan sejarah peradabannya. Persinggahan saya seketika dilaman ini dapat dikongsikan dengan pertemuan bersama Demang Lebar Daun.

2. Seorang pelayar Eropah yang tersohor, Marco Polo, telah mengharungi laluan gurun padang pasir yang terkenal sebagai laluan sutera. Pengembaraan tersebut menemukan beliau dengan benua Cina yang dicintainya. Beliau menetap di Cina selama 17 tahun. Malah telah mendapat tempat dan kedudukan sebagai penasihat kepada Raja Mongol yang bernama Kublai Khan yang agung. Sayang sekali beliau tidak berkesempatan singgah dan bertandak di bumi kepulauan Empayar Melayu.

3. Namun demikian, Empayar Melayu ketika itu tidak memerlukan seorang penasihat seperti Polo. Memadailah seorang Bendahara yang bernama Tun Perak, berkarisma mengurus Empayar Melayu Melaka selama 40 tahun lamanya. Dicatatkan dalam tinta sejarah,bendahara ini telah berkhidmat ke bawah duli 4 orang Sultan. Beliau telah mengembangkan kekuasaan Empayar Melaka mengikut kreativitinya.

4. Ketika pelayar Columbus berjaya ke "Dunia Baru" pada tahun 1492, Ekspedisi seorang Laksamana China yang beragama Islam,bernama Cheng Ho ke lautan sebelah barat Laut China Selatan sampai ke Afrika Timur, sebenarnya telah mencatat satu sejarah yang paling agung dalam dunia pelayaran. Laksamana ini telah mengerahkan armada raksasa. Pertama mengerahkan 62 kapal besar dan belasan kapal kecil yang digerakkan 27.800 ribu awak-awak. Pada pelayaran ketiga mengerahkan kapal besar 48 buah, awak-awaknya 27 ribu. Sedangkan pelayaran ketujuh terdiri atas 61 kapal besar dengan awak-awaknya seramai 27.550 orang. Bila dijumlah dengan kapal kecil, rata-rata pelayarannya mengerahkan 200 lebih kapal-kapal. Sementara Columbus, ketika menemukan benua Amerika 'cuma' mengerahkan 3 kapal dan 88 orang awak-awak sahaja.

5. Kita terlalu memandang hebat pelayar-pelayar asing seperti Vasco de Gama, Christopher Columbus dan Ferdinand de Magellan sehingga melupakan sejarah siapa Panglima Awang. Beliau dikatakan manusia pertama mengelilingi dunia. Sejarah mengelilingi dunia bermula apabila Ferdinand melarikan diri ke Sepanyol bersama Panglima Awang angkara fitnah pihak tertentu yang memusuhinya. Di dunia barat pemuda melayu ini dikenali sebagai Enrique atau Enrique of Malacca aka Henry The Black.

6. Perjanjian Sang Si Perba dengan Demang Lebar Daun yang berlaku di Bukit Siguntang, Palembang merupakan agenda "MOU" awal di antara rakyat dan raja dalam sebuah kerajaan melayu. Mereka pun bersumpah-sumpahan serta berteguh janji, barang siapa yang mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, tiangnya ke atas.

7. Apa pun, Raja-Raja Melayu telah berwasiat juga kepada orang-orang Melayu di Tanah Melayu ini.
Dalam 7 Wasiat Raja-Raja Melayu, "Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera.". Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa orang Melayu.

8. Kejadian tuhan negeri ini dinamakan Tanah Melayu. Pelayar-pelayar Barat dan Timur semuanya berkata begitu. Sebab itulah ketuanya raja Melayu. Dalam buku klasik Sejarah Melayu, pengarangnya Tun Sri Lanang mencatatkan keagungan kerajaan Melayu Melaka dan perhubungannya dengan Kerajaan Negeri Tembok Besar Cina. Dinyatakan juga pengurusan pentadbiran dalam negeri dan luar negeri yang sungguh hebat dilakukan oleh pentadbir-pentadbir tempatan. Sememangnya nama-nama mereka tidak tercatat pun dalam sejarah.

9.