TIANG

Suatu Tinjauan


1) Rumah Tradisional Melayu.

Orang Melayu di negara ini terdiri daripada pelbagai suku kaum, oleh itu rumah-rumah tradisional Melayu mempunyai ciri-cirinya tersendiri.

Rumah-rumah tradisional di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Di bahagian utara pantai barat Semenanjung Malaysia iaitu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, rumah bumbung panjang amat terkenal. Bumbungnya agak tinggi dan curam dan lazimnya mempunyai tiga bahagian rumah iaitu serambi, ibu rumah dan dapur.
Rumah Negeri Sembilan juga bercirikan bumbung panjang tetapi ia merupakan satu-satunya rumah di Semenanjung Malaysia yang mempunyai bumbung yang melengkok ke atas seperti tanduk kerbau. Seperti juga rumah Melaka, bumbungnya turut dikenali sebagai bumbung panjang tetapi yang membezakannya ialah tangga batu di bahagian anjung rumah berkenaan.
Selain bumbung panjang terdapat rumah yang digelar rumah bumbung lima dipercayai mempunyai pengaruh British dan Belanda yang terkenal di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor begitu juga rumah bumbung Perak yang dikenali juga sebagai bumbung potongan Belanda.

Seni bina rumah di pantai Timur
Di pantai timur Semenanjung Malaysia, rumah-rumahnya banyak dipengaruhi oleh masyarakat awal yang menetap di kawasan itu iaitu masyarakat Thailand dan Kemboja. Ini kerana pada abad ke-2 sehingga ke-16 kebanyakan kawasan di Terengganu dan Kelantan termasuk Patani di bahagian selatan Thailand merupakan jajahan Melayu Langkasuka.
Jika rumah-rumah di pantai barat Semenanjung Malaysia dilihat berdasarkan bumbung, di pantai timur pula ia dilihat berdasarkan tiang-tiang yang dibina untuk menyokong ibu rumah. Ibu rumah yang kecil digelar rumah bujang atau rumah tiang enam manakala ibu rumah yang lebih besar digelar rumah serambi atau pun rumah tiang dua belas.
Bumbung rumah-rumah berkenaan selalunya diperbuat daripada genting yang digelar singhorra sempena nama sebuah bandar di Songkhla, selatan Thailand. Rumah Pahang pula tidak banyak beza dengan rumah-rumah di kawasan pantai barat kerana dikatakan rumah yang awal, dibina oleh masyarakat Bugis yang berhijrah dari pantai barat.

Rumah-rumah tradisional di Sabah.
Sabah kaya dengan masyarakat daripada pelbagai suku kaum tetapi pembinaan rumah mereka banyak dipengaruhi oleh kepercayaan mistik masing-masing. Rumah-rumah panjang untuk suku Rungus dan Murut mempunyai ruang seakan bilik untuk keluarga dan ruang bagi upacara tradisi suku kaum itu. Selain rumah panjang terdapat rumah individu seperti Rumah Bajau di Kota Belud dan Rumah Banggi di Pulau Balambangan, rumah buluh di Tambunan dan Rumah Lotud di kawasan Tuaran.

Rumah-rumah tradisional di Sarawak.
Sarawak juga terkenal dengan rumah panjang yang didiami oleh suku kaum Iban, Melanau, Orang Ulu dan Bidayuh. Kebanyakan rumah dibina berhampiran sungai yang merupakan laluan utama bagi masyarakat tersebut. Rumah panjang berkenaan mempunyai bilik-bilik untuk keluarga yang berjumlah antara 20 sehingga 80 bilik. Setiap rumah panjang boleh menempatkan antara 200 hingga 800 orang.







2) Senjata Tradisional Melayu.

Beribu-ribu tahun dahulu...di Lembah Bujang, Semenanjung Tanah Melayu, terdapat satu peradaban yang makmur. Kota-kota yang besar dan istana-istana yang mengagumkan. Di suatu kawasan, terdapat kilang-kilang membuat peralatan logam; kilang melebur besi.

Zaman berganti zaman. Tahun berganti tahun. Peperangan demi peperangan. Maka tamadun ini pun berkubur dan digantikan dengan peradaban baru. Akibat kelemahan sendiri empayar yang sememangnya mempunyai peradaban sendiri yang tulin telah jatuh ke tangan penjajah. Kedatangan bangsa Eropah telah menukarkan persepsi ketamadunan orang Melayu.

Apabila membelek buku-buku sejarah rata-rata kita lihat Hulubalang-hulubalang Melayu memegang tombak. Panglima-panglima Melayu menghunus keris. Di lihat pula Raja Melayu di atas gajah, dengan askar-askar Melayu menentang penjajah Portugis menggunakan tombak dan keris. Bertembokkan pancang-pancang kayu dan batang pisang. Digambarkan juga askar-askar Melayu mati ditembak istinggar musuh. Rumah-rumah Melayu beratap rumbia musnah dibedil meriam. Manakala gambar gabenor British bercekak pinggang dengan orang-orang Melayu berpakaian selekeh di suatu sudut.

Demikianlah digambarkan orang-orang Melayu pasca-penjajahan yang berimejkan selekeh, miskin dan nampak kurang berpendidikan.

Sebenarnya apabila teknologi meriam semakin maju pada abad ke-14, seluruh dunia berlumba-lumba mendapatkan teknologi ini. Kerajaan-kerajaan Eropah, wilayah-wilayah bekas Empayar Abbasiah dan Turki Uthmaniyyah, Dinasti China dan kerajaan Ayutthia berusaha tidak ketinggalan dalam soal mengambil tahu atau memiliki meriam malah merekrut rakyat mereka mempelajari cara membuat meriam.

Dikhabarkan raja-raja Melayu Brunei dan Sulu ketika itu sudah pun biasa bermain dengan pistol dan menjadi pengeluar meriam kecil terbaik dunia? Sebab itu Sepanyol gerun dan tidak mampu mencabut 'kemelayuan' mereka.

Kemungkinan atas desakan pihak tertentu, para pedagang yang tiba di pelabuhan Melaka semuanya berpakat untuk menyorokkan berita-berita tentang meriam, istinggar (musket) dan ubat bedil orang-orang Melayu.  Adalah amat tidak logik jika Tun Perak di zaman Sultan Melaka yang pernah menakluk sebahagian Sumatera dan tanah semenanjung malah mengalahkan tentera Siam menggunakan keris dan lembing sahaja.

Bangsa Melayu sebenarnya sudah pun mempunyai peralatan senjata yang canggih. Malah semua senjata ini, yang diwar-warkan asing bagi bangsa Melayu, mempunyai istilah Melayunya sendiri, contohnya :-

*Cannon=Meriam,Lela
*Portable Cannon/swivel gun=Lela Rentaka
*Flintlock Musket=Istinggar
*Blunderbuss=Pemuras
*Pistol=Terakol


Pemuras
Pemuras adalah antara senjata yang gemar digunakan oleh orang-orang Melayu dahulukala. Dalam Perang Naning, catatan askar Inggeris menyatakan orang-orang Melayu amat pandai menggunakan Pemuras sehingga Inggeris terpaksa menghantar beberapa kali pasukan tenteranya menentang Dol Said dan Perang Naning juga berlaku dalam beberapa siri.
Orang-orang Melayu Borneo khususnya orang Brunei dan Sulu adalah mereka yang selalu menggunakan Pemuras. Pemuras atau dalam bahasa Inggeris, blunderbuss adalah sejenis alat bedil muat hadapan dengan laras berkaliber pendek, besar, yang mempunyai muncung peledak hadapan yang berbentuk kembang (funnel-shaped muzzle ). Pemuras ini menggunakan peluru timah hitam (lead). Ia digunakan untuk menembak dalam jarak dekat dan selalu digunakan oleh pasukan berkuda (Dragoons). Perkataan Dragoon ini berasal dari penggunaan Pemuras yang telah dimajukan bentuknya, menjadi lebih kecil, seperti pistol.



Terakol
Orang-orang Melayu memanggilnya sebagai Terakol atau Tarkul. Dragoon atau Terakol inilah asal-usul pistol pada hari ini. Pemuras juga adalah senapang atau bedil yang pertama sekali dicipta untuk tujuan pertahanan. Dalam masyarakat Melayu, senjata Pemuras dan Tarkul adalah agak popular berbanding di dunia barat. Penggunaan Pemuras adalah lebih kerap digambarkan di dalam peristiwa perang Melayu berbanding istinggar atau Flintlock Musket. Mengapa?

Ini kerana pada masa dahulu orang Melayu adalah pelaut dan pengembara yang gigih. Penggunaan blunderbuss ini adalah amat popular dikalangan pelaut, lanun dan pedagang. Ini kerana ia sesuai untuk pertempuran secara pantas dan berdepan kerana ia mampu mencederakan beberapa orang musuh dengan hanya satu tembakan dari jarak dekat.
Pemuras biasanya amat pendek, dengan laras kurang dari 60 cm (dua kaki), pada ketika laras senapang lantak biasanya melebihi 90 cm (tiga kaki) panjang. Satu sumber menggambarkan senjata dari awal hingga pertengahan abad ke-17, menyenaraikan panjang laras Terakul kancing roda (wheel lock) sekitar 28 cm (sebelas inci), berbanding 41 cm (enam belas inci) panjang bagi Pemuras.
Dalam budaya masyarakat Melayu, Kesultanan Brunei adalah di antara salah sebuah Kerajaan Melayu yang menggunakan Pemuras sebagai salah sebuah alat kebesaran kerajaan atau regalia. Ia menjadi lambang kebesaran Brunei dengan panggilannya yang tersohor 'Pemuras dan Karga'. Karga ialah bekas menyimpan peluru pemuras yang dibuat cantik dan berseni. Pemuras sering dihiasi dengan ukiran yang amat halus dan cantik. Ada juga Pemuras yang dibuat daripada logam berharga seperti Emas dan Perak serta ditatahkan dengan intan permata. Di dunia barat penggunaan Pemuras adalah lebih kerap digunakan oleh pasukan berkuda kerana ia mudah digunakan terutama ketika mengisi peluru.
Jika Soviet meletakkan lambang Avtomat Kalashnikova (AK-47) di duit syililing mereka, Mozambique meletakkannya di bendera mereka, bayangkan, kerajaan Melayu seperti Brunei ini meletakkan blunderbuss atau Pemuras ini sebagai lambang kerajaan.
Terakol atau Tarkul adalah antara senjata popular dikalangan pelaut, pedagang dan lanun-lanun Melayu. Tarkul pada awalnya menggunakan teknologi 'wheellock' (kancing roda) di mana kemajuan teknologi ini membolehkan ia membakar serbuk bedil secara automatik tanpa memerlukan 'fius'. Terakol berbentuk seperti pistol dan ia adalah perubahan bentuk dari Pemuras yang dikecilkan. Terakol digunakan di dalam peperangan Rajah, Datu dan Sultan-sultan di Filipina melawan Sepanyol, juga digunakan oleh askar-askar Brunei menentang Rajah Brooke.

Selaian dari Perang Naning,Terakol juga digunakan peperangan di Patani dan Melaka. Sekitar tahun 1530, Terakol telah menjadi maju dengan penggunaan teknologi flintlock (kancing batu api) dan sejak itu ia lebih dikenali sebagai pistol di negara Barat.

Ketua Lanun, Laksamana dan Syahbandar Melayu sering bergaya menyelitkan Terakol ini di pinggang bersama-sama keris mereka.

Istinggar
Istinggar (Bahasa Inggeris: musket) pada awalnya ialah sejenis senjata api jenis berat dengan penggunaan fius atau wheel lock. Kemudian ia menjadi sejenis senapang yang menggunakan teknologi flintlock (kancing batu api). Penggunaan flintlock ini meningkatkan kadar tembakan dan mengurangkan kos pembuatan senjata api. Mula diperkenalkan pada 1630 sebagai flintlock musket, istinggar dengan pantas menggantikan teknologi picu senjata api lebih awal, seperti mekanisme kancing sumbu (matchlock) dan kancing roda (wheel lock).

Istinggar juga kerap disebut didalam hikayat-hikayat lama seperti Silalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan juga Hikayat Megat Terawis. Dalam Hikayat Megat Terawis, dikatakan bahawa Megat telah berjaya membunuh seorang hulubalang yang kebal dan hebat bernama Tun Saban. Tun Saban dikatakan sebagai seorang yang tidak lut kepada segala jenis senjata kecuali istinggar yang dibuat khas pelurunya. Istinggar yang digunakan untuk membunuh Tun Saban dikatakan adalah hadiah daripada ulama dari Hadra-maut kepada raja Pagar Ruyung.

Istinggar inilah yang dikumpulkan terlalu banyak di dalam kota Melaka oleh tentera-tentera Portugis. Istinggar juga digunakan oleh tentera Johor-Riau terutama ketika membantu Belanda menyerang Portugis. Istinggar juga digunakan oleh penduduk di Perak ketika menyerang Belanda yang membina loji-loji di Sungai Perak.

Rentaka
Rentaka adalah sejenis meriam mudah alih, ringan dan kecil dari meriam biasa. Dalam Bahasa Inggeris, ia disebut Lantakas (gabungan Lela dan Rentaka). Rentaka adalah senjata khas orang Melayu, kerana mereka sendiri yang menciptanya, sebab itu orang Inggeris menyebutnya dengan Lantakas. Ini adalah sesuatu yang menarik kerana Rentaka adalah setanding dengan keris dan ia adalah senjata Melayu yang terkenal di dunia Barat.
Kebiasaannya rentaka dibuat menggunakan tembaga atau besi dan berukuran di antara 50cm hinggalah 2 meter. Bagi yang berukuran lebih daripada 1 meter kebiasaannya ia di panggil Lela dan ada yang dipanggil sebagai ekor Lotong kerana mempunyai pelaras yang panjang dan lentik seperti ekor Lotong. Bangsa penjajah pertama yang merasa penangan rentaka ialah Sepanyol. Mereka menggelarnya sebagai arquebuses, portable cannons orswivel gun yakni meriam mudah alih. Berbanding dengan meriam biasa, rentaka kebiasaanya mempunyai hiasan yang lebih terperinci dan cantik seperti ukiran awan larat, naga, buaya, cicak, ikan lelumba malahan turut diukirkan corak pucuk rebung.
Apa yang unik mengenai senjata ini ialah ianya adalah sebuah meriam mudah alih yang pertama didunia. Rentaka mempunyai mekanisme yang membolehkan ianya dipusing-pusingkan ke atas dan ke bawah serta boleh dipikul dan dipacakkan di kota, tanah atau belebas kapal dan perahu. Hal ini amat berbeza dengan meriam barat yang sedia di ketahui adalah amat berat dan tidak mudah dialihkan. Ciri mudah alih Rentaka juga menyebabkan bidikannya lebih mudah untuk kena pada sasaran.
Pahlawan Moro adalah di antara pahlawan rumpun Melayu yang dikatakan sebagai pembuat rentaka yang terbaik . Orang Moro telah menggunakan rentaka sebagai senjata api utama ketika diserang oleh Sepanyol dan ketika mereka menyerang kapal-kapal Sepanyol. Tentera Sepanyol dikatakan amat takut dengan senjata tersebut kerana di antara banyak-banyak senjata, rentaka adalah salah satu senjata yang menyebabkan kematian dan kerugian terbesar bagi pihak mereka. Selain daripada orang Moro, Kerajaan Brunei juga dikenali umum di kalangan para pedagang dan penjajah sebagai pengeluar rentaka terbanyak dan terbaik di Alam Melayu. Kebanyakan daripada rentaka yang ada di Muzium di seluruh dunia sekarang ini adalah berasal dari Brunei dan juga Filipina.

Di Semenanjung Tanah Melayu, Jawa dan Sumatera, penggunaan rentaka adalah kurang terutama setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Kehebatan senjata api buatan bangsa Melayu ini menjadi buah mulut dan kekaguman para penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol dan Belanda sehinggakan mereka telah meniru teknologi pembuatan rentaka bagi melengkapkan persenjataan mereka. Sehingga abad ke 18 penghasilan rentaka di Alam Melayu semakin berkurangan malahan negara yang mengeluarkan rentaka terbaik dan terbanyak telah beralih kepada negara Belanda.


Meriam
Meriam mempunyai sejarah yang panjang, terahsia dan digelapkan dalam sejarah Melayu. Meriam digunakan di tembok-tembok kota Melaka. Meriam digunakan semasa peperangan melawan penjajah di Selangor. Meriam digunakan di Pasir Salak. Meriam digunakan di Singgora melawan Siam dan Inggeris dan Belanda. Meriam adalah cukup sinonim dengan seni peperangan Melayu. Jika Brunei dan Sulu terkenal mengeluarkan Rentaka (meriam mudah alih) terbaik, maka Patani pula adalah pengeluar meriam paling terbaik di Asia Tenggara suatu ketika dahulu.

Sebelum kemunculan meriam, pada awalnya teknologi artileri atau bedilan ini diperkenalkan oleh orang-orang Cina. Kemudian meriam diperkenalkan oleh Empayar Turki Uthmaniyyah, yang juga merupakan pembuat meriam yang menggerunkan seluruh Eropah ketika itu. Kemudian pedagang Belanda pula memperkenalkannya.

Meriam yang paling terkenal dalam masyarakat Melayu ialah Seri Nagara, Seri Patani dan Mahalela. Dan meriam Seri Nagara dan Seri Patani ini adalah meriam yang terbesar di Asia Tenggara! Menariknya bukan orang lain yang membuat dan memilikinya, tetapi orang Melayu juga!


Meriam-meriam ini adalah milik Kerajaan Patani. Sebagai tindak balas berikutan khabar angin akan serangan Siam ke atas Patani, Raja Kerajaan Melayu Pattani pada waktu itu iaitu Raja Biru (1616-1624) telah menugaskan seorang lelaki Cina-Islam yang bernama Tok Kayan (Lim To Khiam) untuk mengetuai pembinaan meriam-meriam kerajaan. Tiga buah meriam telah dibina iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama manakala Mahalela pula lebih kecil iaitu hanya sepanjang 5 hasta 1 jengkal. Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam ke atas Patani iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638.

Selepas kejatuhan Ayutthaya pada 1767, kerajaan Patani di bawah pemerintahan Sultan Muhammad (1776-1786) telah cuba untuk membebaskan diri daripada ancaman Siam (yang telah mengalahkan kerajaan Ayutthaya). Bagaimanapun, pada 1785 pasukan tentera Siam di bawah kepimpinanan Panglima Phraya Kalahum telah berjaya menewaskan Patani. Dua buah meriam besar iaitu Sri Patani dan Sri Nagara telah diambil sebagai rampasan perang, bagaimanapun Sri Nagara telah jatuh ke dalam laut di Kuala Patani semasa hendak dipindahkan ke dalam kapal. Meriam Mahalela pula telah hilang tanpa dapat dikesan.

Pada 1787, Raja Rama I telah mengarahkan pembinaan meriam yang sama saiz dengan Sri Patani yang dinamakan sebagai Narai Sanghan untuk diletakkan bergandingan dengan Seri Patani yang telah di tawan. Menurut Hikayat Patani tiga buah meriam kerajaan Pattani ini telah berjaya mengaramkan banyak kapal tentera Siam ketika Kerajaan Siam menyerang Pattani.

Kesimpulannya, orang Melayu adalah bangsa yang pandai menggunakan meriam malah pandai juga membuatnya. Orang Melayu juga biasa menggunakan musket (Istinggar) dan pistol (Terakol) bukan setakat ahli dalam pencak silat yang menggunakan senjata keris dan lembing.



Pendekar Melayu bersenjatakan Istinggar, Terakol dan Pemuras
bersama Tombak dan Keris dipinggang.




3) Askar Melayu.


Rejimen Askar Melayu DiRaja (atau Askar Melayu) merupakan satu pasukan tempur infantri dan merupakan rejimen tertua di dalam Tentera Darat Malaysia. Askar Melayu, bersama-sama dengan Rejimen Renjer DiRaja merupakan pasukan tempur infantri utama di dalam Tentera Darat Malaysia.

Rejimen Askar Melayu DiRaja merupakan pasukan terunggul di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Pada kemuncaknya, pasukan ini mempunyai kekuatan sebanyak 27 batalion. Askar Melayu kini mempunyai kekuatan 25 batalion.

Askar Melayu hanya dianggotai oleh anggota-anggota berketurunan Melayu sahaja, tidak seperti Rejimen Renjer DiRaja dan lain-lain rejimen dalam Tentera Darat Malaysia yang boleh dianggotai oleh anggota dari pelbagai kaum.

Penubuhan


Sejak penjajahan oleh Kerajaan Kolonial British, pasukan-pasukan Tentera British dan juga Tentera British India (British Indian Army) seperti pasukan “Burma Rifles” telah ditugaskan untuk mengawal keselamatan. Ini melibatkan kos yang tinggi kerana pasukan-pasukan itu terpaksa dibawa daripaada Britain dan India untuk berkhidmat di Tanah Melayu.

Semenjak tahun 1902, Raja-Raja Melayu terutamanya Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan), Raja Chulan (Kerabat DiRaja Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau) telah menggesa Kerajaan Kolonial British di Malaya untuk menubuhkan satu rejimen tentera yang dianggotai oleh orang-orang tempatan.

Pada 23 November 1932, Jabatan Perang British memberikan persetujuan untuk penubuhan satu pasukan Askar Melayu sebagai satu rejimen tempatan dalam Angkatan Tentera British (Rejimen ini dilatih dan diurus oleh Rejimen Tentera British Malaya). Pada 23 Januari 1933, Majlis Perundingan Persekutuan (Federal Consultative Council) telah meluluskan Akta No. 11 yang dikenali dengan nama Akta Rejimen Askar Melayu dan meluluskan peruntukan $70,000 bagi pembelian Kong Sang Rubber Estate di Port Dickson untuk tapak bagi kegunaan sebagai Pusat Latihan Rekrut Askar Melayu.

Pasukan Askar Melayu bermula dengan penubuhan Kompeni Percubaan Pertama (1st Experimental Company) pada tahun 1933 dan merupakan titik permulaan pasukan tentera anak watan di Tanah Melayu.

Pada 1 Februari 1933, seramai 25 orang anak Melayu daripada 100 orang calon telah dipilih sebagai “sesuai untuk diambil menjadi rekrut” di dalam pasukan Askar Melayu.

Pasukan Askar Melayu ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1933 di Haig Lines, Port Dickson, Negeri Sembilan. Pasukan ini di letakkan di bawah perintah Mejar G. Mc Bruce , sementara Kapten K.G. Exham dilantik menjadi Adjutan. Sarjan Mejar A. E. McCarthy dilantik menjadi Sarjan Mejar Rejimen dan Sarjan Kuartermaster E. Oldfiled menjadi Sarjan Kuartermaster.


Pasukan ini dikira sebagai percubaan kerana pada peringkat itu, ia bertujuan untuk menilai kesesuaian orang-orang melayu sebagai anggota tentera, dan bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan disiplin tentera (Mejar Jeneral G. Mcl. S. Bruce, O.B.E. M.C. (bersara). (Petikan dari rencana "Trying it out with No. 1 Squad", Pahlawan, Vol. 1, Kuala Lumpur, 1952.)

Pembesaran Pasukan Askar Melayu

Persenjataan seperti Colt M4A1 Carbine akan mempertingkatkan daya tempur RAMD dan rejimen lain dalam ATM.

Pada 1 Januari 1935, atas kesungguhan anak-anak Melayu di dalam Kompeni Percubaan dan dengan kegigihan Mejar S. Bruce, 1 Kompeni Percubaan Askar Melayu ditukarkan menjadi Rejimen Askar Melayu dengan kekuatan permulaan seramai 150 orang anggota. Pengambilan anggota-anggota baru dipercepatkan. Dengan penambahan 232 orang anggota baru, dua Kompeni tempur telah ditubuhkan, dengan satu pasukan Ibu Pejabat sebagai elemen perintah, dan dikuatkan dengan platun bantuan dilengakan dengan mesingan Vickers, satu seksyen Semboyan dan satu unit tambur.

Pada 1 Januari 1938, Batalion Pertama Askar melayu (1 Melayu) mempunyai kekuatan 17 pegawai british dan 6 Pegawai Melayu, 11 Pegawai Waran dan 759 Pegawai Tak Bertauliah dan anggota Lain-Lain Pangkat.

Apabila bahang perang semakin hampir, latihan ketenteraan dipertingkatkan. Latihsn jalan lasak di peringkat battalion dan peringkat briged kerapkali diadakan. 1 Melayu juga mula membuat latihan menggunakan mortar dan meriam penangkis kerera kebal. Dalam bulan Ogos 1941, satu platun bantuan ditubuhkan menggunakan 10 buah “Universal Carrier” ataupun lebih dikenali sebagai “Bren Gun Carrier’ di bawah pimpinan Kapten R.R.C. Carter. Platun bantuan ini menjalankan latihan bersama-sama Battalion ke-2 Loyals Regiment (North Lancashire) Tentera British.

Pada bulan Mac 1941, Gabenor Negeri-Negeri Selat memberikan kuasa untuk menambah kekuatan Rejimen Askar Melayu menjadi dua battalion. Batalion Ke-2 Askar Melayu ditubuhkan pada 1 Disember 1941. 1 Melayu dan 2 Melayu bersama-sama battalion Ke-2 Loyal Regiment (North Lancashire) diletakkan di bawah pemerintahan 1st Malaya Infantry Brigade. Briged ini akan memainkan peranan besar dalam mempertahankan Tanah Melayu semasa penjajahan Jepun.

Kompeni A, Batalion Kedua adalah unit Askar Melayu pertama menentang Tentera Jepun yang mendarat di Pantai Cinta Berahi (sekarang Pantai Cahaya Bulan), Kelantan pada 8 Dis 1941. Kekuatan Tentera Jepun yang berlipat ganda telah memaksa Kompeni A berundur ke Kuala Krai dan seterusnya ke Singapura. Di Singapura, Batalion Pertama dan Kedua Askar Melayu telah berjuang bersama Tentera British menentang kemaraan musuh. Askar Melayu telah berjuang dengan penuh semangat di sekitar kawasan Pasir Panjang, Buena Vista, Labrador dan Alexander.

152 anggota Melayu (termasuk 7 pegawai Melayu) Rejimen Askar Melayu bersama 6 orang pegawai British yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban di Malaya dan Singapura semasa Perang Dunia II.

Leftenan Adnan, Pahlawan Melayu.


Leftenan Muda Adnan merupakan wira terulung di dalam sejarah Rejimen Askar Melayu DiRaja. Pegawai muda dalam 1 Melayu ini menunjukkan semangat juang yang kental yang akhirnya mengorbankan beliau semasa mempertahankan tanah air. Kompeni “C” 1 Melayu di bawah pemerintahan Kapten Rix telah ditugaskan mempertahankan kawasan Pasir Panjang dan Bukit Candu. Jika jatuh ke tangan Jepun, laluan tersebut akan memberikan laluan langsung ke kawasan Alexandra di mana terletaknya hospital tentera dan depot peluru.

Pada 13 Februari, kedudukan kompeni "C" diserang oleh pasukan daripada Divisyen Chrysanthemum di awah pimpinan Lt. Gen. Renya Mutaguchi. Askar Melayu bertindak cemerland mempertahankan permatang mereka dan Askar Jepun terpaksa berundur. Pada 14 Februari 1942, Kompeni 'C' bergerak ke Bukit Candu dan diperkuatkan dengan tambahan anggota Askar Melayu menjadikan kekuatan anggota di bawah pimpinan Leftenan Adnan 42 orang kesemuanya.

Pada petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah. Leftenan Adnan memerhatikan satu kumpulan Askar India menuju kedudukan mereka, tetapi ketajaman akal Adnan tidak terpedaya dengan helah Askar Jepun yang bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Pasukan itu diserang dan terpaksa berundur. Dua jam kemudian, Tentera Jepun melancarkan serangan besar dan kumpulan Askar Melayu di Bukit Candu tewas.

Askar Melayu di Pasar Bakhara, Mogadishu


Bn 19 RAMD (Mekanis) ditempatkan untuk bertugas di Mogadishu mulai 18 Jun 1993. Dalam Perkhidmatan batalion ini dengan UNOSOM, batalion ini telah ditugaskan sebagai Pasukan Atur Cepat (Quick Reaction Force) UNOSOM. Pada 3 dan 4 Oktober 1993, Pasukan Petugas US Ranger dan Delta Force(unit elit dan komando khas US ARMY) melakukan operasi untuk menawan beberapa konco kanan Mohamed Farrah Aidid. Malangnya operasi ini menghadapi masalah. Pasukan tentera tersebut terperangkap. Terdesak, Tentera Amerika Syarikat meminta bantuan UNOSOM dan 19 RAMD untuk memberikan bantuan meyelamatkan anggota Tentera Amerika yang terperangkap.

Tentera Amerika mahu menggunakan Kenderaan Perisai Radpanzer Condor milik 19 RAMD dan tidak mahukan bantuan askar 19 RAMD . 19 RAMD enggan menyerahkan Radpanzer Condor kepada Tentera Amerika, dan akhirnya satu kompromi dicapai. 19 RAMD membenarkan anggota tentera Amerika menaiki Condor, tetapi pemandu, komander dan pengendali senjata akan terdiri dari anggota 19 RAMD .

60 orang anggota 19 RAMD terbabit dalam operasi menyelamat askar Amerika berkenaan. Selepas diberi taklimat operasi, pasukan yang diketuai Leftenan Azman bergerak pada jam 11 malam. 16 buah Radpanzer Condor bergerak secara konvoi. Perjalanan ke tempat di mana tentera Amerika berlindung penuh dengan halangan, dan konvoi sering dihujani peluru dan roket. Mereka terpaksa mengelak periuk api yang ditanam di atas jalan dan tembakan penembak curi dari arah merata tempat menyebabkan pergerakan terganggu. Leftenan Azman memberi arahan dengan tenang semasa menghadapi serangan pemberontak ketika operasi menyelamat menaikkan semangat pasukan.

Akhirnya pada jam 7.45 pagi, 75 Renjer Amerika Syarikat berjaya diselamatkan. Dari 19 RAMD seorang askar telah terbunuh. Prebet Mat Aznan Awang telah terbunuh apabila roket RPG-7 menembusi kompartmen pemandu kereta perisai Kondor yang dipandunya. Peristiwa ini telah menjadi inspirasi kepada pengeluar filem Amerika untuk menerbitkan sebuah filem berjudul "Blackhawk Down" bagi 'mengenangkan' kembali kegagalan askar-askar mereka dalam operasinya di Mogadishu. Malangnya dalam filem ini tidak ditonjolkan penglibatan anggota 19 RAMD yang telah bersama-sama menyelamatkan askar-askar elit/komando Amerika terbabit !!







4) Baju Tradisional Melayu.


Baju Melayu yang biasa di pakai di Malaysia dan negara serantau biasanya terbahagi kepada dua, iaitu baju Melayu potongan Teluk Belanga dan potongan Cekak Musang. Baju Melayu Teluk belanga biasanya lebih terkenal di selatan Malaysia sementara potongan Cekak Musang di kawasan tengah dan utara Malaysia. Potongan tersebut merujuk kepada cara jahitan pada leher baju tersebut, potongan Cekak Musang berbentuk seperti leher baju India hanya bahagian penutup atau rumah butangnya bertindan. Sementara potongan Teluk Belanga pula bahagian lehernya hanya di jahit secara sulaman. Terdapat berbagai bentuk sulaman yang dipadankan seperti Mata Lalat, Tulang Belut dan sebagainya.

Baju Melayu dijahit dalam dua cara iaitu berpesak atau potongan moden atau dipanggil potongan Cina. Di mana lengan baju tersebut disambungkan kepada badan baju.Iaitu secara di sambung terus atau di jahitkan kebahagian lain yang dinamakan pesak dan kekek.
Cara memakai baju juga terdapat perbezaan dimana bagi baju Melayu Teluk Belanga biasanya sampin dipakai diluar baju, manakala baju Melayu Cekak Musang baju di dalam sampin.


Baju Riau


Baju berbelah ini seakan-akan kebaya pendek. Baju Riau juga disebut 'Engku Puteri atau Raja Hamidah' puteri pada Raja Haji iaitu Yang Dipertuan Muda Riau yang kelima dari keturunan Bugis.

 
 
Baju Belah Kebaya Panjang


Walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung, tetapi dalam acara majlis, mereka muncul juga dengan memakai kebaya, sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau.

Pola baju belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Cuma bezanya ia berbelah dan berpesak di hadapan baju ini, umumnya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi. Baju belah panjang ini terkenal di Melaka, Perak, Selangor dan Kedah-Perlis. Baju kurung belah ini kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’ dan ‘kebaya panjang’. Tradisi ini berkembang menjadi kebaya dan bertangan panjang berpesak lurus di hadapan, berkekek dan berbelah dada yang ditutup dengan kancing atau kerongsang tiga.



Baju Melayu Cekak Musang


Istilah ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju, tengkuk ‘cekak’ tinggi atau leher tegak empang leher. Pengertian ‘cekak musang’ merakamkan imej alami untuk leher baju yang bercekak tinggi berdiri (2.5cm) melingkari leher. Ukuran ditentukan oleh lingkaran (bulat) yang dibuat dengan ibu jari lain yang bertemu hujungnya. Baju ini mula dipakai di Johor ketika pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar.

Baju Teluk Belanga


Baju ini mula di perkenalkan di Teluk Belanga, Singapura dan tersebar luas sebagai ciri khas johor khususnya pada abad ke-19. Ia juga dikatakan sejenis pakaian lelaki yang dikatakan telah direka oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1866 untuk meraikan perpindahan ibu negeri Johor dari Teluk Belanga di Singapura ke Johor Bahru. Walau bagaimanapun istilah ini akhirnya menjadi ciri khas masyarakat Melayu hingga disebut selengkapnya ‘Baju Melayu’.



Baju Kurung


Baju kurung dianggap popular dan dipakai oleh lelaki dan perempuan. Perbezaannya terletak pada bahagian kocek iaitu lelaki mempunyai tiga kocek manakala perempuan mempunyai satu kocek serta perbezaan daripada segi pemakaian. Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam, sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Sehingga disebut dengan berbagai-bagai nama misalnya ‘baju kurung bernyawa’ walaupun mempunyai pelbagai nama namun baju kurung telah menampilkan ciri-ciri tersendiri.



Pakaian Warisan Melayu

Baju kebaya dipakai oleh wanita Melayu. Ada dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arab habayayang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.

Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih. Tangannya panjang dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju. Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus. Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang. Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak.

Kebaya ada pelbagai gaya. Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain. Di Pahang pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain; malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu.

Baju kebaya sesuai untuk pakaian harian dan juga pakaian pengantin. Bagi pakaian harian, baju kebaya sesuai diperbuat daripada kain kapas dan baldu atau sutera (bagi yang berada) dan dipadankan dengan kain sarung. Selendang hanya dikenakan apabila keluar rumah. Bagi pengantin pula, baju kebayanya diperbuat daripada songket dan sepasang dengan kain sarungnya. Selendangnya juga diperbuat daripada songket.

Baju Kurung Cekak Musang

Baju kurung cekak musang adalah sama dengan baju kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher baju kurung cekak musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing. Biasanya ada satu kancing pada kolar dan dua atau tiga lagi kancing pada bukaannya. Butang emas atau emas berbatu permata digunakan sebagai pengancingnya. Kancing yang paling terkenal ialah kancing emas yang dipanggil garam sebuku dan kancing berbatu permata yang dikenali sebagai kunang-kunang sekebun.

Baju kurung cekak musang wanita boleh dipakai dengan seluar atau kain sarung. Seluar yang selalu digunakan ialah kain seluar panjang, seluar panjang dan seluar bambu. Jika mahu, samping dan selendang juga boleh dipakai bersama.

Baju kurung cekak musang lelaki pula dipakai dengan seluar dan bersamping. Lebih segak lagi apabila bertanjak atau bersongkok.


Kurung Kedah

Baju kurung Kedah dipercayai berasal dari selatan Thailand di mana wanitanya kini memakai baju berleher potongan bujur sireh. Ianya dikenakan bersahaja, ketika bekerja di rumah sebagai pakaian harian. Baju kurung Kedah selalunya diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau pelikat yang diikat ke depan dengan motif kepalanya di hadapan.




Teluk Belanga

Baju kurung Teluk Belanga juga lebih dikenali sebagai baju kurung atau baju kurung Johor. Baju ini boleh dipakai oleh kaum lelaki dan wanita.


Baju Kurung Teluk Belanga

Dari segi sejarahnya, baju ini mula dipakai pada zaman pemerintahan Sultan Johor, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar yang bersemayam di Teluk Belanga, Singapura pada sekitar tahun 1800-an. Justeru itulah ia dipanggil Baju Kurung Teluk Belanga dan ia juga merupakan pakaian kebangsaan orang Melayu Johor. Sejak itu pemakaian baju ini telah berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Baju kurung merupakan pakaian kebangsaan rakyat Malaysia dan banyak dipakai dalam majlis-majlis rasmi. Baju Kurung Teluk Belanga adalah labuh, dan potongannya longgar kerana dirusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut. Baju kurung teluk belanga yang dipakai oleh kaum lelaki dan wanita pada dasarnya adalah sama kecuali;

a) Baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya lebar dan mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di bahagian bawah hadapan baju, manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita pula labuhnya hingga ke lutut dengan satu kocek di dada kiri atau pun tanpa kocek.

b) Kaum lelaki memakai baju ini dengan seluar panjang samada seluar Acheh atau Seluar panjut Kaum wanita pula memadankannya bersama kain samada kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala kain sarung lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini.

Pada masa dahulu, wanita Johor memadankan baju kurung dengan kain dagang luar, iaitu sehelai kain sarung yang pada asalnya digunakan sebagai kain kelubung untuk menudung kepala dan berlindung dari cahaya matahari apabila keluar berjalan. Kain dagang luar ini dikenakan di pinggang seperti kain samping lelaki dengan ombak-ombaknya di bawa ke rusuk kiri dan disaukkan pada lengan atau dipegang dengan tangan. Kain mantul, iaitu sehelai selendang pendek yang bertekat dengan kelingkan emas biasanya akan disangkutkan ke bahu apabila si pemakai mengenakan baju kurung dengan kain dagang luar ini. Walaubagaimanapun, baju kurung pada hari ini tidak lagi dipakai dengan kain-kain tradisional sebegini yang lazimnya hanya digunakan oleh masyarakat Melayu zaman dahulu.

Baju Melayu

Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu dan ia terdiri dari dua jenis iaitu Baju Kurung Teluk Belanga ataupun Baju Cekak Musang. Baju ini biasanya dipakai semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan Sembahyang Jumaat. Selain itu ia juga amat sesuai dipakai pada Hari Raya dan juga majlis-majlis rasmi. Pemakai Baju Melayu kelihatan lebih berseri apabila ia mengenakan samping dan songket. Pada acara-acara biasa seperti kenduri-kendara dan Sembahyang Jumaat, ia dipakai bersama kain pelekat atau kain tenun sutera.

Celana

Pada masa dahulu, lelaki golongan istana dan golongan berada memakai seluar yang besar dan longgar yang dikenali sebagai kain seluar, seluar Aceh atau seluar Lambok. Kain seluar ada yang pendek dan ada yang panjang. Kain seluar yang pendek hanya separas lutut dan biasanya dipakai untuk bersantai di rumah. Kain seluar yang panjang pula adalah separas betis dan digunakan ketika keluar rumah atau ke majlis rasmi. Kaki dan pinggang kain seluar sangat lebar.

Kain seluar terdiri daripada lapan bahagian yang dicantumkan. Empat bahagian yang di tengah berfungsi sebagai kekek supaya selesa dipakai. Kain seluar dipakai seperti memakai samping; melipat ke hadapan (box-pleat) dan menggulungnya atau mengikatnya dengan tali pinggang.

Kain seluar dilengkapi dengan satu poket. Poket dibuat pada bahagian hadapan sebelah kiri seluar (bukan pada kekeknya).

Kain seluar diperbuat daripada sutera yang berwarna-warni dari kain songket emas atau perak. Bahagian yang paling banyak bunga songketnya ialah bahagian hujung kaki dan bukaan poket.

Satu lagi seluar yang kerap dipakai ialah seluar panjang atau seluar panjut. Seluar panjang juga lebar bahagian pinggangnya. Pada kelepet pinggang seluar panjang ada lubang kecil bagi memasukkan pita atau tali pinggang yang digunakan untuk memanjut seluar ini.

Seluar panjang terdiri daripada empat bahagian sahaja kerana seluar panjang tidak berkekek seperti kain seluar. Kaki seluar panjang menirus ke bawah. Pada bahagian sisi kaki seluar panjang ada bukaan yang dipasangkan butang. Biasanya lima atau enam butang digunakan. Panjang seluar ini mencecah buku lali.

Kain Sarung

Kain sarung Melayu terdiri daripada sebidang kain lebar yang dicantumkan kedua-dua hujungnya. Kain sarung diperbuat daripada benang kapas dan sutera. Ada juga kain sarung yang diperbuat daripada tenunan songket. Biasanya kain sarung songket hanya dipakai apabila ada majlis rasmi atau sebagai pakaian pengantin.

Kaum lelaki memakai kain sarung dengan baju Melayu. Kain sarung dilipat ke hadapan (dari sisi kiri dan kanan; box-pleat) dan digulung. Kaki kain dilepaskan hingga ke buku lali, Jika kain sarung dipakai bersama-sama seluar, kaki kain sarung disingkatkan hingga ke paras lutut dan menjadi samping.

Kaum wanita memakai sarung bersama-sama baju kurung atau baju kebaya. Kain sarung diikat atau dililit di pinggang. Kaum wanita mengikat sarung dengan pelbagai cara. Iaitu dengan cara membuat satu lipatan yang ditindan ke hadapan badan, atau dengan lipatan-lipatan kecil yang dikumpulkan pada salah satu sisi badan; dikenali sebagai ombak mengalun. Untuk mengemaskan atau memastikan kain sarung tidak terlucut, tali pinggang atau pita kain digunakan untuk mengikatnya.

Kepala kain atau bahagian yang pada kain itu dihalakan ke belakang. Ada dua sebab mengapa kain itu dipakai di belakang, pertama, untuk memastikan bahagian itu terserlah; tidak termasuk ke lipatan kain (pada bahagian depan) dan kedua, supaya kelihatan sopan apabila membelakangkan orang di mana kepala kain yang cantik itu menjadi tarikan kepada orang yang membelakangkan.

Kaum wanita juga memakai sehelai lagi kain sarung di atas bajunya. Kain sarung ini dipakai dengan tiga cara. Cara pentama dipanggil dagang luar. Dalam cara ini, kain sarung dikumpul di sisi badan dan disauk dengan tangan. Kepala kain dihalakan ke belakang. Cana yang kedua dipanggil kain tudung. Dalam cara ini, kain sarung dipakai meyelubungi kepala. Tujuannya ialah untuk melindungi si pemakai daripada cuaca panas. Kepala kain diletakkan di atas kepala. Cara yang ketiga pula dipanggil kain selempang. Dalam cara ini, kain sarung dikedut menjadi gelungan dan diselempangkan di bahu. Kepala kain diletakkan di hadapan badan.

Samping

Samping mirip seperti kain sarung, bezanya cuma samping lebih pendek daripada kain sarung. Samping dipakai oleh kaum lelaki Melayu bersama-sama baju Melayu dan seluar panjang. Samping diikat di pinggang di sebelah luar, di atas baju dan seluar. Bahagian kaki samping dilepas hingga ke lutut atau betis.

Pada asalnya samping lelaki adalah panjang hingga ke buku lali dengan bahagian hadapannya disingkatkan bagi menampakkan seluar di bahagian dalamnya. Kini samping yang lebih pendek; kakinya hingga ke paras lutut lebih digemari kerana lebih ringkas dan lebih selesa dipakai.

Di sesetengah tempat, di Johor misalnya, samping dipakai oleh kaum lelaki di sebelah dalam di bawah baju kurung Teluk Belanga mereka. Samping yang dipakai dengan cara ini dipanggil kain samping dagang dalam.

Samping dipakai dengan cara melipat sisi kiri dan sisi kanannya supaya bertindan di tengah-tengah di hadapan badan (box-pleat). Kemudian bahagian yang bertindan itu digulung atau dikemaskan dengan tali pinggang ataupun bengkong.

Selain daripada cara yang disebutkan di atas, samping juga dipakai dengan pelbagai gaya supaya lebih menarik. Antaranya ialah dengan cara melipat-lipatnya di sisi badan dan menyimpulnya dengan simpulan seperti tanduk atau bunga, mengikatnya dengan tali pinggang atau bengkong. Jika tali pinggang digunakan, pending dipasangkan menjadi kepala tali pinggang supaya nampak lebih kemas dan lebih hebat.





Selendang

Selendang biasa adalah lebih kecil dan lebih nipis daripada selendang panjang. Bagaimanapun corak selendang biasa lebih digemari kerana lebih ringkas dipakai. Selendang biasa dipakai dengan menyangkutkannya di atas satu bahu ataupun kedua-dua bahu; menutupi kepala dan bahu; diselempang di bahu kemudian melintasi badan dan diikat di pinggang; disangkut di bahu dengan hujung yang di belakang diselempangkan di belakang badan dan disangkutkan pada tangan (hujung yang satu bagi dilepaskan dihadapan badan) dan pelbagai cara lagi.

Selendang biasa diperbuat daripada tenunan sutera yang sudah menjalani proses ikat dan celup atau dikenali dengan nama kain limar. Sisi selendang biasa dikemaskan dengan tenunan benang emas. Kadang-kadang selendang ini juga disongket atau disulam dengan bunga emas.

Di Kelantan, selendang biasa dipakai oleh kaum wanita sebagai kain kemban semasa mengenakan pakaian Cik Siti Wan Kembang.

Selendang biasa juga turut digunakan dalam upacara lenggang perut iaitu upacara yang dibuat ketika wanita mengandung tujuh bulan. Tujuan upacara ini ialah supaya bayi yang dikandung selamat dilahirkan.



Pakaian Tradisional Melayu



5) Puisi Tradisional Melayu


Banyak daripada puisi Melayu tergolong dalam genre tradisional yang muncul dalam zaman sebelum berkembangnya tradisi tulisan pencetakan. Puisi dalam Bahasa Melayu larut dalam jiwa masyarakat Melayu tidak hanya sebagai satu hasil kesenian, tetapi juga mengjangkau alam mistik, berperanan sebagai wadah pemeliharaan adat, pembinaan sahsiah, pengajaran agama, pengajaranilmu pengasih, pertahanan, hiburan, dan kepercayaan.
Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar sejarah mula perkembangan puisi Melayu tradisional. Berdasarkan kajian oleh ramai sarjana, dapat dikatakan perkembangan puisi Melayu tradisional telah bermula secara bersama dan sezaman dengan perkembangan prosa Melayu tradisional. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran banyak genre puisi tradisional dalam karya hikayat dan cerita-cerita rakyat.



Definisi

Definisi lama puisi ialah karangan berangkap. Karangan ini terikat kepada bentuknya yang khusus dan tetap, sama ada pada jumlah perkataan dalam baris, jumlah baris dalam rangkap, rima danirama, dan jumlah suku kata. Menurut sasterawan negara, Za'ba, puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.

Jenis-jenis puisi Melayu

Puisi Melayu termasuk dalam golongan karya kesusasteraan bentuk bukan cerita (non-naratif). Pengkelasan puisi Melayu boleh dibuat berdasarkan bentuk, isi/tema, dan fungsi. Berdasarkan kepada pengkelasan ini, jenis-jenis puisi Melayu tradisional terbahagi kepada dua belas iaitu pantunsyairgurindamnazamselokateka tekiperibahasa berangkapterombatalibun (sesomba),prosa berirama (prosa lirik), dan dikir (zikir).



Pantun 

Perkataan pantun dikatakan berasal daripada perkataan Bahasa Sanskrit paribhasya atau Bahasa Jawa parik yang bererti pari atau peribahasa dalam Bahasa Melayu.
Antara penulisan klassik Tamil yang mempunyai bentuk pantun telah dikarang antara kurun ke dua hingga kurun ke lima dalam tempoh cankam. Contoh rangkapnya adalah:-
nilattinum perite vaninum uyarntanru
nirinum arala vinre carar
karunkor kurincip pukkontu
perunte nilaikkum natanotu natpe
(Tevakulattar: Kuruntokai, 3)
Terjemahan
(Besar dari bumi, tinggi dari langit
Dalam dari laut, dilereng gunung
(kurunci tangkai gelap mekar - seperti madu
Besar lagi cintaku bagi Tuanku (lord of the land))
Antara persamaan yang boleh dilihat adalah ia menggunakan puisi sebagai gambaran cinta, mempunyai jumlah silables sekata setiap baris, dan pecahan gambaran pada dua baris yang sama.
Menurut Dr. Brandsetter pula, perkataan 'pantun' berasal daripada akar kata tun yang boleh dikesan dalam Bahasa Jawa iaitu tuntun, dalam Bahasa Tagalog disebut tonton yang diucapkan dalam aturan yang tertentu. Dalam Bahasa Sunda, pantun bermaksud satu cerita (karangan) panjang berirama yang dinyanyikan dengan iringan muzik. Manakala dalam masyarakat Melayu pula, pantun bererti kuantrain, iaitu puisi yang tersusun dalam struktur empat baris serangkap.
Pantun dapat dikelaskan berdasarkan kepada bentuk/struktur, tema/isi, fungsi dan penyebarannya. Daripada pengkelasan inilah maka timbullah apa yang disebut pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat, dan sebagainya. Dari segi tema pula memunculkan jenis-jenis pantun seperti yang berikut:
  1. pantun kanak-kanak
  2. pantun cinta dan kasih sayang
  3. telatah dan cara hidup masyarakat
  4. pantun teka teki
  5. pantun puji-pujian/sambutan
  6. pantun nasihat, agama, dan adat
  7. pantun naratif/cerita
Contoh pantun cinta dan kasih sayang:
Dari Mentakab ke Sungai Mati,
Singgah bermalam di Tangga Batu,
Tumpang di rumah Tok Lela;
Timbullah insaf di dalam hati,
Pemandu ramai penumpang pula tetap setia

Gurindam

Gurindam terkenal dalam masyarakat Melayu terutamanya di Sumatera. Di Sumatera, gurindam juga dikenali dengan nama Muslihat Acheh, Gurindam Barus, Lagak Minang, dan sebagainya. Asal usul perkataan gurindam adalah daripada Bahasa Sanskrit dan dikatakan memasuki Bahasa Melayu melalui Bahasa Tamil iaitu 'kirandum'.
Struktur puisi gurindam terdapat dua: terikat dan tidak terikat. Bentuk gurindam terikat terdiri daripada dua baris serangkap dengan rima akhirnya yang sama. Bagi bentuk gurindam yang tidak terikat pula, jumlah barisnya tidak tetap, manakala rima akhirnya bebas.

Teromba

Teromba terkenal dalam orang Minang yang kuat berpegang kepada adat Perpatih. Teromba juga dikenali dengan nama-nama seperti terasultambo, dan salasilah. Sesebuah teromba lazimnya mengungkapkan gagasan pemikiran yang tinggi berkenaan peraturan, nilai, adat, dan hukum-hukum hidup bermasyarakat.
Terdapat banyak pengertian teromba; ada yang menyatakan bahawa teromba sebagai perbilang adat, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Dari segi bentuk, teromba berbentuk bebas. Jumlah baris dalam setiap rangkapnya tidak tetap, manakala rima akhir setiap baris pula tidak sama. Di dalam sebuah teromba disisipkan dengan beberapa jenis puisi tradisional lain, seperti pantun,gurindam, dan peribahasa. Contoh teromba adalah seperti berikut:
Merisik dalam adat istiadat perkahwinan
Adalah saya bak kata orang,
kok ibarat umur baru bertukar muda,
pendapatan pun belum ada,
pandangan pun belum banyak,
pengalaman pun belum jauh,
kok darah belum setampuk pinang,
kok jalan kurang pasa,
kalau begitu kedatangan saya ini,
ibarat pergi ke huma,
singkap daun ambil buah,
adapun kedatangan saya ini sama-sama faham,
orang ke awak, awak ke orang,
semenda bersemenda,
kok ibarat dasar pusaka,
kok segar disiram,
kok putus kata di pangkal,
putus dengan dibagi,
duduk berperuntungan,
mati hukum Allah,
duduklah pula sepelarasan,
pandangan memandang satu nan lain,
iaitu bersuku-suku,
berapalah sukunya dua belas,
dua belas Muar dua belas Jempol,
enam Teraci enam Gunung Pasir,
kok selaman sepermainan,
kok sejamban seperulangan,
tak dek hukum tak mengambil,
diharuskan pula semenda-menyenda.

Talibun

Definisi umum bagi talibun menurut Kamus Dewan (2005) ialah sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris, enam baris, atau dua puluh baris yang bersajak di hujungnya. Talibun disebut juga dengan nama seromba dan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan prosa lirik atau prosa berirama. Walau bagaimanapun, talibun berbeza dengan prosa lirik dan prosa berirama kerana talibun merupakan sebahagian sahaja daripada cerita yang diambil prosa lirik.
Talibun mengungkap persoalan yang berbagai bergantung kepada konteks cerita induknya. Lazim isi talibun berkisar kepada pelbagai perkara dan objek; seperti senjatapakaiankenderaannegeri,perlakuan manusiafenomena alamperasaan, dan tradisi yang terdapat dalam sesebuah cerita lipur lara.
Menyahut panggilan apabila dipanggil ke istana
Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Yang capik datang bertongkat
Yang buta beraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjau
Yang kurap mengekor angin
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta pemghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh

Mantera

Istilah mantera berasal daripada kata mantramantr, atau matar, dalam Bahasa Sanskrit yang bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan kata-kata tertentu bagi memperolehi sesuatu yang dihajatkan yang mempunyai kesamaan dengan jampi serapah, tawar, sembuh, cuca, puja, dan takal. Keakraban masyarakat Melayu silam dengan alam sekitar mendorong kepada timbulnya kepercayaan-kepercayaan bahawa alam sekitar mempunyai pengaruh dan kuasa yang menentukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Kepercayaan ini berkait rapat dengan pengaruh animisme yang diwarisi secara turun-temurun. Dari situ timbullah unsur-unsur kuasa magis seperti semangat dan roh yang dianggap sebagai memberi kesan kepada sesuatu perkara yang dihajati secara langsung kepada unsur-unsur magis tersebut. Pawang atau bomoh adalah ahli-ahli penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan nada,irama, dan tekanan suara yang tertentu sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati.
Mantera tergolong dalam kelompok puisi, kerana pengucapan dalam bentuk mantera menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai makna yang tersirat, bahasa yang padat puitis. Mantera boleh digolongkan sebagai sejenia puisi Melayu tradisional berbentuk bebas, kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-satu rangkap, manakala rima askihrnya pula tidak tetap.
Puja Padi:
Seri Dangomala, Seri Dangomali!
Hendak kirim anak sembilan bulan;
Segala inang, segala pengasuh;
Jangan beri sakit, jangan beri demam,
Jangan beri ngilu dan pening;
Kecil menjadi besar;
Tua menjadi muda;
Yang tak kejap diperkejapkan;
Yang tak sama dipersamakan;
Yang tak tinggi dipertinggikan;
Hijau seperti air laut;
Tinggi seperti bukit Kaf.

Peribahasa berangkap

Peribahasa tergolong dalam jenis puisi warisan Melayu dan sangat banyak ditemui dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Peribahasa juga disebut dengan nama peribahasa berirama dan mempunyai beberapa variasi seperti bidalanpepatah-petitihperbilanganperumpamaanlidah pendetakias ibarat, dan tamsil. Dari segi bentuk, peribahasa berangkap terbina dalam dua keratan yang sejajar, baik dalam dalam sebaris atau lebih. Tidak sebagaimana pantun, baris-baris dalam peribahasa tidak berkaitan antara satu sama lain.
Peranan peribahasa dalam majlis-majlis rasmi mahupun dalam kehidupan seharian mereka adalah sebahagian daripada budaya Melayu yang sopan walau semasa menegur, menyindir atau mengkritik secara halus. Peribahasa juga berfungsi sebagai alat kawalan sosial dan pemantapan sesuatu sistem sosial dalam kemasyarakatannya dan media yang mempamerkan kebijaksanaan penutur atau pewarisnya.